Saturday, April 30, 2011

Diari Arnabi 23 (Dari Hobi Jadi Sumber Pendapatan)

KOTA BHARU – Segala-galanya bermula dua tahun lalu bagi Mejar (B) Zaidi Ab. Halim, 39, setelah beliau membuat keputusan untuk bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menyedari beliau perlu melakukan sesuatu untuk menanggung keluarga, Zaidi mula mencari idea bekerja sendiri terutama melakukan sesuatu yang menjadi minatnya. Beliau tidak perlu berfikir panjang apabila mendapati hobinya selama ini membela arnab boleh dikomersialkan dan membawa pulangan lumayan jika kena pada caranya. Justeru jtu, berbekalkan modal RM10,000, Zaidi memulakan langkah awal dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada Persatuan Penternak Arnab di Kuala Selangor, Selangor.
Akhirnya, tarikh 15 Januari 2010 mencatatkan sejarah peribadi bapa kepada empat anak perempuan itu apabila ladang ternakan arnab dibina di depan rumahnya di Kampung Kemubu di sini.



Tahap kesihatan arnab yang diternak sentiasa diperiksa bagi mengelak jangkitan penyakit.

 
Lebih membanggakan, Zaidi kini merupakan satu-satunya penternak arnab untuk dikomersialkan di Kelantan.
Bermula dengan hanya 40 ekor arnab, bekas pegawai tentera itu kini boleh berpuas hati dengan usahanya apabila kini menternak lebih 500 ekor arnab untuk dijual kepada pelanggan. “Dulu masa saya bekerja memang bela arnab menjadi hobi saya. Sekurang-kurangnya saya ada empat atau lima ekor arnab tidak kira di negeri mana saya bekerja.

“Bila bersara awal dari ATM saya buat keputusan untuk menjadikan hobi ini sebagai sumber pendapatan dengan modal yang ada ketika itu,” katanya ketika ditemui di ladang ternakannya yang terletak berhampiran Rumah Pam Kemubu di sini baru-baru ini. Selepas memulakan ladang ternak itu, Zaidi kini mempunyai seorang rakan baik, Rosaliamin Abd. Razak, 32, yang turut menceburkan diri dalam bidang yang sama.
Zaidi yang bersara pada 31 Ogos 2009 berkata, pada mulanya beliau bercadang menternak lembu dan kambing, namun tidak meneruskannya memandangkan bau najis haiwan itu boleh mengganggu memandangkan tapak ladang terletak di depan rumahnya.
 
Katanya, sehingga kini beliau memiliki hampir 500 ekor arnab di dua kandang dari baka cincila, hotort, dwaft, New Zealand white dan lion head. Dengan harga setiap seekor arnab antara RM80 hingga RM120 bergantung kepada jenis dan saiznya, Zaidi kini mula menuai hasil apabila pernah menjual sehingga kira-kira 100 ekor arnab dalam sebulan.

Beliau bagaimanapun masih belum dapat menjual daging haiwan tersebut yang sudah disembelih memandangkan ia memerlukan modal tambahan selain jumlah arnab yang ada tidak mencukupi.
“Menternak arnab memang sesuatu yang boleh dijadikan perniagaan kerana dalam tempoh empat bulan sahaja ia sudah boleh dijual dengan harga serendah RM80 ekor bagi induk yang berumur kira-kira dua bulan.
“Bagi yang berumur empat bulan ke atas ia dijual dengan harga RM150 seekor dan harga ini memang murah kalau dibandingkan dengan negeri-negeri lain,” jelasnya.

Menurut beliau, menternak arnab tidak terlalu sukar cuma perkara yang perlu diutamakan adalah kebersihan sangkar untuk mengelakkan haiwan itu dijangkiti penyakit. Katanya, setiap tiga hari sekali beliau akan membersih dan mengutip najis haiwan tersebut dan ia bukan soal kebersihan semata-mata kerana najis tersebut turut boleh dijual sebagai baja.

“Ada pengusaha ladang di Bachok yang akan datang setiap bulan untuk membeli najis haiwan ini dan saya jual dengan harga hanya RM3 seguni,” ujarnya. Zaidi amat berharap perusahaannya itu dapat ditingkatkan agar suatu hari nanti beliau mampu menjual daging segar arnab kerana permintaan memang ada terutama di kalangan penjual sate daging arnab. “Jual daging memang untung sebab harganya RM30 sekilogram tetapi sekurang-kurangnya sehari kena ada 500 ekor arnab yang boleh disembelih. “Sebab itu sekarang saya ada rakan-rakan yang turut menternak haiwan ini agar kami mempunyai jumlah yang cukup itu satu hari nanti.
‘‘Saya akan membuat permohonan dengan Jabatan Pertanian untuk mendapatkan bantuan,” jelasnya.
Kepada sesiapa yang mahu membeli arnab boleh menghubungi Zaidi di talian 013-2497878 dan Rosaliamin 016-9377586.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

COMMENT HERE